Monday, July 6, 2009

12 bilion untuk pengendalian PPSMI? Ini skandal!

12 bilion untuk pengendalian PPSMI? Ini skandal!
Ali Bukhari Amir
Sun | Jul 05, 09 | 11:54:34 pm MYT

"Saya kata jika benarlah sampai cecah RM12 bilion, ini skandal!" kata seorang pensyarah kepada kami pagi itu. Teman saya itu terdiam dan saya pula terpinga-pinga mendengar maklumat itu.

Pagi itu saya dan seorang rakan daripada Kumpulan Prihatin sedang berbual-bual mengenai isu PPSMI. Kami tak rancang pun untuk berbual berhubung hal tersebut. Ahli akademik itu mendapat maklumat itu berasaskan bualannya dengan beberapa orang kenalannya.

Bualan santai pagi itu sebenarnya menyentuh seputar permasalahan pengajian tinggi peringkat sarjana termasuk beberapa masalah pbenyelia yang memenatkan siswazah yang meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Angka RM12 bilion ini sememangnya memeranjatkan atau boleh ditafsirkan sesetengah pihak sebagai belanjawan yang tidak munasabah. Terpulang kepada sesiapa sahaja yang berminat membentuk tafsiran sendiri. Kita semua berhak membentuk suatu tafsiran ke atas maklumat yang kita dengar.

Kalau angka ini benar, sejujur-jujurnya saya sendiri tak jelas untuk apa peruntukan berbilion itu dihanguskan. Tetapi, saya tulis juga hal ini supaya ada pihak yang dapat tampil memberi jawapan.

Terdahulu, ada laporan yang menyentuh bahawa hasil selenggaraan mencecah sekitar RM3 bilion. Tiba-tiba sudah jadi RM12 bilion? Kita letak angka dan nama orang yang meriwayatkan hal ini sebagai cara bagi menyiasat hal ini dengan jujur.

Mungkin kita tersalah faham dan silap dengar mengenai peruntukan PPSMI sejak dulu dan sekarang. Jadi, minta maaf jika tersalah. Tapi, telinga ini tidak salah dengar bahawa ada angka RM12 bilion yang disebut. Dalam negara demokrasi, kita berhak bertanya untuk mendapatkan maklumat.

Mingguan Malaysia 5 Julai baru-baru menyiarkan laporan berhubung Ananda Krishnan yang hampir membeli kelab bola sepak Newcastle dengan harga RM547 juta. Angka RM12 bilion mengatasi harga Kelab bola sepak Newcastle itu jikalau kelab itu jadi dibeli.

Di sebelah laporan Ananda beli Newcastle RM547juta, diletakkan gambar seorang nenek Cik Mah Mat Dali, 72, bersama tiga cucunya yang 'memburu' emas di Tobiar, Pendang, Kedah.

Antara dua darjat

Pemikiran para wartawan dan pihak editor akhbar sememangnya begitu. Sengaja dibiarkan kedua-dua laporan begitu disusun berdekatan, lalu mereka membiarkan rakyat membuat tafsiran. Jika rakyat bijak, mereka akan dapat melihat hal itu. Jika tidak, mereka akan abaikan dan terus bekerja seperti biasa untuk dilanyak kehidupan mereka oleh penguasa.

Seorang taikun media sedang mencetak kemasyhuran dan mencetak lebih banyak wang dengan pembelian kelab bola sepak. Dan di sebelahnya adalah kisah tentang ratusan penduduk desa yang miskin, bertungkus-lumus mencari emas untuk keluar dari daerah lingkungan kemiskinan yang parah; wilayah merah dengan setiap detiknya sentiasa sarat dengan belenggu hidup.

Pendidikan dan pelajaran adalah salah satu ruang yang terbuka supaya rakyat berjaya membaiki taraf hidupnya sendiri.

Anak-anak itu berhak mendapat pelajaran di peringkat SPM tanpa perlu mereka dihadkan pengambilan 10 mata pelajaran dan mereka berhak menerima pelajaran dalam bahasa yang mereka senang fahami.

Jika mereka mudah faham belajar dalam bahasa ibunda, kekalkan usaha memindahkan pelajaran itu dalam bahasa ibunda. Itu hak mereka.

Tetapi, pihak pemerintah telah menafikan hak tersebut, mencabul undang-undang, memperkosa perlembagaan melalui PPSMI.

Akibatnya, hal ini telah membunuh semangat belajar anak-anak kita, sekali gus membunuh semangat mengajar guru-guru.

Dengan ini, pendidikan kita bermasalah dan pembelajaran makin terjejas. Maka, hak dan peluang anak-anak untuk membina, memperbaiki serta menaiktaraf hidup mereka dan ahli keluarga mereka telah tertutup rapat.

Guru-guru yang menyemak markah peperiksaan terpaksa menjadi hipokrit dengan memberikan markah yang bagus-bagus supaya Menteri Pelajaran dapat berhujah bahawa PPSMI tidak menyebabkan anak-anak makin lemah dalam kedua-dua pelajaran itu.

Cukup setakat ini. Matlamat kita cuma ingin mendapatkan kepastian di Parlimen-benarkah wujud penyelenggaraan prasarana PPSMI sehingga melibatkan peruntukan sehingga RM12 bilion itu? Kalau benar, mungkinkah skandal telah berlaku?

Di bawah ini, dikembarkan keluhan jiwa seorang guru yang bakal bersara berhubung isu PPSMI tersebut.

Surat seorang guru yang bakal bersara

"Salam. Saudara Ibnuamir, saya ingin menambah koleksi pendapat terhadap penentangn PPSMI. Saya seorang guru. Mengajar lebih 20 tahun. Daripada mula 'posting' hinggalah tahun 2003, saya sentiasa mengajar dua pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu dan Matematik selain satu matapelajaran bukan teras. (Ini adalah kebiasaan bagi seorang guru).

Saya melalui pengalaman ini selama 20 tahun. Rasanya bukan sedikit sumbangan yang saya berikan dalam bidang Matematik. Dalam tempoh itu, berbagai kursus yang berkaitan dengan Matematik saya hadiri. Saya juga mempunyai pengalaman yang bukan sedikit dalam subjek ini.

Apabila PPSMI berpuaka diperkenal, kebiasaannya guru-guru dari opsyen Matematik dan Sains didahulukan untuk mengikuti kursus-kursus yang dinamakan 'kursus etems'.

Saya guna istilah kebiasaan kerana terdapat juga sekolah yang menghantar guru-guru dari opsyen Bahasa untuk terlibat sama. Ini bermakna apabila tamat kursus, mereka akan di'convert'. Biasanya guru-guru begini diberi keutamaan mengajar Matematik atau Sains. Sekali gus, mereka tidak mengajar Bahasa.

Fenomena kedua oleh sebab PPSMI menjanjikan elaun untuk guru-guru yang terlibat, maka tidak kurang guru-guru daripada opsyen Bahasa berlumba-lumba untuk turut serta mengikuti kursus etems.

Ini berterusan sehinggalah kursus-kursus etems tamat dijalankan iaitu setelah merangkumi Tahun 1 sehingga 6. Bermakna guru-guru yang tidak mengikuti atau tidak berpeluang mengikutinya, tidak sekali-kali layak mengajar dua matapelajaran 'bertuah' (Sains dan Matematik) ini termasuklah guru semacam saya.

Satu lagi golongan guru yang gigit jari ialah golongan guru pertengahan umur yang kebetulan anak-anak masih kecil.

Mereka ini lebih memilih untuk tidak mahu pergi kerana kursus etems ini bukan boleh 'pulang hari', sebaliknya mereka perlu bermalam di hotel. Ada tugasan. Tak kurang guru-guru yang tiada pilihan, lalu terpaksa membawa bersama pengasuh dan bayi mereka ke hotel-hotel, tempat berkursus demi menyudahkan kursus etems.

Guru-guru lama yang mempunyai pengalaman mengajar Matematik sehingga 20 tahun (seperti saya) diketepikan begitu saja semata-mata kerana tidak mengikuti kursus etems. Tambahan pula saya opsyen Bahasa.

Guru-guru yang lebih muda, lebih cetek pengalamannya mudah-mudah mendapat laba sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok semata-mata kerana menjadi guru etems. Adilkah keadaan ini? Akibat ketidakadilan inilah, maka selepas 7 tahun PPSMI ini dilaksanakan, maka jelas ia menimbulkan banyak masalah. Berbilion telah dilaburkan.

PPSMI menjadi projek 'Gajah Putih'?

Segala peralatan seperti LCD, komputer bimbit dan seumpamanya menjadi gajah putih di sekolah-sekolah. Guru-guru etems sudah tiada bezanya dengan guru-guru bahasa, mengajar menggunakan 'chalk and talk' juga.

Kami tidak mengapa, kerana tak mendapat 10 peratus laba dari gaji pokok. Tapi, guru-guru etems yang dapat 10 peratus laba gaji pokok itu, atas sebab apa pula jika mutu pengajaran pun seperti kami? Mengajar dalam bahasa Melayu juga.

Saya rasa ramai guru yang bersetuju dengan tulisan saya. Cuma sebagai guru, ada etika yang tak boleh dilanggar. Tulis di media, mengkritik dasar-dasar pelajaran adalah dilarang. Sebab itu, saya luahkan kepada saudara Ibnuamir yang saya tak kenali pun.

Juga, fenomena negatif yang timbul di kebanyakan sekolah, secara tidak sengaja wujud jurang antara guru-guru Bahasa dengan guru-guru etems. Ini kerana, bidang tugas di sekolah hampir sama, tapi imbuhan yang diterima berbeza.

Ini semua penyakit 10 peratus. Satu perkara yang saya nak dedahkan, guru-guru Bahasa menyumbang dua kertas dalam UPSR berbanding subjek Sains dan Matematik. Seorang guru Bahasa mengendalikan kertas PEMAHAMAN dan PENULISAN yang kedua-duanya tertakluk di bawah subjek bahasa Melayu.

Dengan lain perkataan, dalam satu-satu masa, guru Bahasa itu mengajar Pemahaman dan Penulisan yang mana kedua-dua kemahiran ini berasingan. Dalam sijil UPSR pun, pemahaman dan penulisan ini adalah dua perkara yang terpisah. Tapi apa keistimewaan yang diberi kepada guru-guru Bahasa?

Mungkin kerana guru-guru bahasa ini ada 'bahasa' maka sekian lama mereka tidak bangkit membuat protes. Tetapi, protes senyap memang telah berlaku di seluruh negara.

Guru bahasa sokong GMP

Oleh itu, antara golongan yang paling gembira sekali jika PPSMI dimansuhkan ialah guru-guru Bahasa. Kepada Ibnuamir, tolong warwarkan sokongan kami kepada GMP. Guru-guru etems janganlah bersedih, kerana dah bertahun pun anda menikmati laba 10 peratus gaji pokok daripada kami.

Sekian, terima kasih kepada para pejuang bahasa!

Daripada

Menunggu detik bersara...

TAMAT ISI SURAT ...

Mungkin, melalui surat ini, kita dapat melihat sudut gelapnya, iaitu sudah ada sikap berpuak-puak antara guru dengan sebab wujud kursus etems tersebut.

Tapi, apa yang penting di sini ialah kewujudan guru-guru etems ini adalah hasil daripada penguasa yang mencetak dasar PPSMI ke sekolah-sekolah. Guru-guru etems tak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Ini kerana tanpa PPSMI maka tiadalah kursus tersebut.

Kebanyakan guru telah menyatakan sokongan terhadap Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Semoga GMP akan lebih merakyat lagi ke sekolah-sekolah. Dan, kita perlukan para khatib yang cekal, tabah berani dan tidak takut mati untuk menyelar PPSMI dalam khutbah-khutbah Jumaat dan bukan hanya menyeru ke arah perpaduan antara parti guna mengukuhkan Umno dan BN.

Semoga kita dapat mengusahakan ruang cetak seperti akhbar di sekolah-sekolah supaya persatuan antara guru-guru lebih kemas dan tersusun rapi ke arah memansuhkan PPSMI ini. Dan, semoga GMP akan lebih merakyat bersama-sama guru-guru ini setelah sokongan telah dilafazkan secara terbuka!

Akhirul kalam, berapa bilion kos penyelenggaraan PPSMI itu? RM12 bilion? Kalau bukan, sudah jadi berapa bilion sekarang? Muhyiddin, sila jawab!

12:30 p.m, 5 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Dipetik dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021558&Itemid=35

No comments:

Post a Comment