Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Thursday, July 9, 2009

Koh Tsu Koon, BN punca isu Kampung Buah Pala

Mohd Sabri Said
Thu | Jul 09, 09 | 10:52:47 am MYT

PULAU PINANG, 9 Julai (Hrkh) - Barisan Nasional (BN) dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon merupakan punca sebenar konflik yang berlaku di Kampung Buah Pala, Gelugor ketika ini dan bukannya Kerajaan Pakatan Rakyat sepertimana yang gambarkan oleh media.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang medianya tengahari semalam menyifatkan, kenyataan Koh Tsu Koon yang menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat kerana tidak memperdulikan keresahan penduduk di kampung terbabit adalah taktik terbaru bagi menutup kesilapannya menjual tanah tersebut pada sebuah syarikat swasta setelah hak milik tanah ditukar kepada Koperasi Pegawai Kerajaan sepenuhnya apabila baki premium dibayar pada 27 Mac 2008.

Jelas beliau lagi, sepatutnya Koh yang juga Ahli Parlimen dari negeri ini tambahan lagi pernah menjadi Ketua Menteri harus masuk campur dengan membawa usul ini ke kabinet agar penyelesaian dapat diatasi.

"BN, Koh Tsu Koon dan barisan exconya kena dipersalahkan dalam hal ini kerana tindakan mereka menyebabkan penduduk Kampung Buah Pala dalam dilema. Padahal peristiwa melaksanakan projek besar tidak timbul sekiranya kerajaan BN waktu itu bersikap mesra dan tidak menipu, " ujarnya.

Beliau juga mengesahkan Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mampu menyelamatkan kedudukan kampung terbabit kerana ketandusan kewangan melainkan berharap Kerajaan Pusat menebus kembali dengan membayar pampasan kepada syarikat Nusmetro Venturues (P) Sdn Bhd kerana didakwa mengalami kerugian tidak menjalankan projek yang dirancang ekoran penduduk menghalang dengan membawa ke mahkamah.

Namun, pada awal Jun lalu setelah syarikat berkenaan berjaya mengemukakan penghujahan di Mahkamah penduduk masih tidak mahu keluar dari kawasan seluas 6.5 ekar berikutan hak mereka dinafikan menerusi jalan penipuan sedangkan mereka tinggal di situ melebihi 100 tahun.

"Sebagai kerajaan baru yang memerintah, kita tidak boleh buat apa-apa kerana Pejabat Tanah dan Galian Negeri telah memberikan hak milik tanah kerajaan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan bertarikh 9 Januari menerusi rujukan mereka PTG/PMP/DTL/274 yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Haji Arifin Awang, " terangnya.

Lim dalam kenyataan juga menyebut Kerajaan Negeri akan menggunakan Akta Kanun Tanah Seksyen 116 di mana sekyen 116 (1) (D) menyebut mana-mana tanah yang menjadi milik kerajaan apabila hendak dibangunkan mesti mendapat kebenaran secara bertulis sebelum pembangunan dibuat.

Beliau juga menafikan Kerajaan Negeri cuba lari daripada tanggungjawab sebaliknya Kerajaan Negeri sedaya upaya mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan kedudukan kampung itu daripada terus ditipu oleh BN.

Kerajaan Negeri juga berpendapat sekiranya mana-mana keluarga mahukan pampasan mereka harus bersabar kerana kerajaan sedang berusaha mendesak pemaju membayar pampasan sebanyak RM200 ribu kepada setiap keluarga.

Perkara itu sedang dibincangkan dengan semua pihak termasuk pemaju sehingga tarikh 2 Ogos akan datang dan selepas itu kerajaan akan mengkaji pampasan yang akan diberikan.

Menyentuh mengenai tuduhan seorang penduduk yang mengatakan jangan persalahkan Najib dalam hal ini sebaliknya menunding jari pada Kerajaan Pakatan Rakyat kononnya menandatangani perjanjian dengan pemaju pada 27 Mac 2008 iaitu selepas peralihan kuasa beliau berkata, Kerajaan Negeri tiada sebarang urusan dengan pemaju melainkan Kerajaan BN terdahulu bersama Koperasi Pegawai Kerajaan.

Ini bermakna Exco Kerajaan BN telah meluluskan dua kali tanah tersebut pada Koperasi iaitu pada 2004 dan 2006.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang tidak pernah merestui peristiwa yang berlaku di Kampung Buah Pala tetapi apa boleh buat nasi sudah jadi bubur. Kerajaan BN patut bertanggungjawab dalam kes ini, " katanya penuh harap.

Turut hadir dalam kenyataan akhbar itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Dr Mansor Othman dan Profesor Ramasamy serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh. - mks. _

Sumber

Tuesday, July 7, 2009

Kampung Buah Pala, Onar Tsu Koon Mencekik Guan Eng

Bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ini amat besar. Kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Koh Tsu Koon kini terpaksa dihadapi oleh kerajaan negeri sekarang. Namun di sebalik kekecohan itu, media arus perdana terus memainkan peranan memutar belitkan fakta dan cuba memainkan isu perkauman untuk menekan kerajaan negeri sekarang.

Ada pun isu pengambilan tanah Kampung Buah Pala ini telah dimulakan oleh kerajaan negeri BN di bawah pimpinan Dr Koh Tsu Koon. Sebarang isu pengambilan dan pampasan tidak pernah dibincang dengan penduduk Kampung Buah Pala. Projek itu kemudian dianugerahkan kepada Tang Hak Ju untuk dimajukan. Segala dokumen pengambilan telah disediakan dan diluluskan.

Malangnya, projek itu dimulakan setelah kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan. Segala liabiliti terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri sekarang. Secara perundangan, pengambilan itu sah.

Sebab itulah mahkamah tidak dapat menolak arahan pengambilan tanah tersebut. Bahananya, kerajaan negeri sekarang yang terpaksa menanggung kemungkaran kerajaan negeri BN dahulu.Hindraf pula tidak menggunakan akal yang wajar dalam membuat tindakan. Mereka lupa jasa pemimpin Pakatan Rakyat yang membela mereka.

Kumpulan ini sebenarnya begitu bersifat perkauman sehingga tidak memikirkan apa yang sebenarnya berlaku di sebaliknya. Hati kaum India digunakan untuk mencetuskan kekecohan sedangkan mereka tidak mencerita apa yang sebenarnya yang berlaku ataupun mereka tak ingin hendak ambil tahu. Manakala pemimpin-pemimpin BN cuba berlunak dengan pemimpin Hindraf untuk menekan kerajaan negeri Pulau Pinang. Sedangkan Hindraf lupa, kerajaan BNlah yang menggadai tanah mereka dengan harga yang cukup murah tanpa rundingan. Pemimpin Hindraf hanya menggunakan emosi bukan fakta untuk melakukan sesuatu.

Apakah kerajaan BN akan membela kaum India apabila mereka kembali berkuasa di Pulau Pinang?Kalau mengikut secara perundangan, tiada apa-apa yang dapat dilakukan oleh Lim Guan Eng. Mahkamah sudah memutuskan yang pengambilan tanah itu sah. Apa yang perlu dilakukan oleh Lim Guan Eng adalah menceritakan kepada penduduk Buah Pala bahawa kerajaan negeri BN dahululah yang bersikap kejam kepada mereka. Sepatutnya mereka berdemontrasi di hadapan rumah bekas Ketua Menteri, Dr Koh Tsu Koon ataupun di hadapan rumah Najib Tun Razak. Bukan di hadapan pejabat KM kerana beliau tidak bersalah.Namun kerana kemuliaan hati KM Pulau Pinang sekarang, beliau telah menulis surat kepada PM supaya diberi sedikit pertimbangan kepada penduduk Buah Pala.

Malangnya, PM lebih suka melihat menghukum KM sekarang di atas kesalahan orang lain. Yang penting bagi Najib adalah rakyat membenci kerajaan negeri sekarang dari melihat penduduk Buah Pala diberi keadilan. Slogan Najib patut diubah, BN didahulukan, rakyat ditekan.Pada pendapat penulis, Guan Eng tidak sepatutnya berbuat demikian. Ini menunjukkan beliau menggesa kerajaan persekutuan mengatasi mahkamah. Biarlah penduduk Buah Pala yang membuat demonstrasi ke atas kerajaan persekutuan.

Jika mereka masih menekan kerajaan negeri, tidak ada apa yang dapat dilakukan kerana Guan Eng harus menerima keputusan mahkamah.Kepada parti-parti Pakatan Rakyat,mereka tidak perlu lagi mengikut telunjuk Hindraf. Kumpulan ini tidak memberi nilai tambah kepada kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Apa yang menjadi matlamat mereka ialah meletakkan kaum mereka di atas dengan apa cara sekali pun, biarpun terpaksa membuat kekecohan dan melakukan kezaliman. Kumpulan yang berbau perkauman yang ekstrim ini harus diharamkan dan dimusnahkan kalau kita ingin lihat rakyat hidup dalam harmoni.

Sumber