Saturday, September 5, 2009

Projek IC Tun Mahathir

Skandal Projek (IC) Mahathir di Sabah akan menjadi hangat semula jika sekiranya Memorandum Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat pemberian kerakyatan Malaysia yang tidak sah melalui pemberian Kad Pengenalan MyKad kepada pendatang tanpa izin (PTI) dan beberapa perkara yang berkaitan, diterima oleh pihak berkuasa.

Isu pendatang tanpa izin yang kini sudah dirakyat-Malaysiakan, memang isu serius di Sabah. Bilangan mereka begitu besar dan penduduk Sabah sendiri merasa terpinggir di negeri mereka sendiri dengan kebanjiran orang asing yang mendapat hak kerakyatan dan menikmati segala kemudahan dan peluang pekerjaan seperti warga Malaysia. Malah, ada bumiputera Sabah sendiri yang tidak mendapat kemudahan dan peluang seperti PTI ini.

Projek (IC) Mahathir ini pertama kali dibangkitkan apabila salah seorang yang dituduh terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan tersebut membuat pengakuan dan pendedahan projek tersebut.

Pendedahan Hassnar kepada mahkamah dalam pendengaran kes petisyen pilihan raya kecil Likas tahun 2001. Mahkamah mendengar bahawa ada ahli-ahli politik di Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang ada kaitan dengan pemberian kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin.

Hassnar Ebrahim, 54, telah menjalani hukuman di bawah Akta Keslamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1988, selama dua bulan dan kemudian dikenakan tahanan dalam rumah selama dua tahun di Sandakan bermula 6 September 1998.

Seorang ahli perniagaan Sandakan, Hassnar mendedahkan bahawa dia telah membantu beribu-ribu rakyat asing mendapat kad pengenalan.

Seorang lagi bekas tahanan ISA yang juga salah seorang pengasas Parti Bersatu Sabah Jabar Khan pula membuat kenyataan terbuka bahawa dia juga telah membantu, terutama rakyat Filipina dan Indonesia mendapatkan kad pengenalan.

Adalah dianggarkan terdapat 1.75 juta orang asing di Sabah termasuk lebih 322,903 orang warga asing telah mendapat kad pengenalan Malaysia melalui “Kad Pengenalan Projek M”. Penduduk Sabah yang melonjak sebanyak 363% dari 648,693 pada 1970 kepada lebih 3 juta pada 2005 berbanding negeri Sarawak yang hanya naik 135% dari 976,269 kepada 2.3 juta. Dari penduduk yang kurang daripada Sarawak, kini melebihi Sarawak hanya sejuta orang.

Namun, itu semua bukan perkara baru, malah ia maklumat terbuka tetapi sehingga kini permasalahan tersebut tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.

Walaupun perkara tersebut sudah diakui dalam Dewan Undangan Negeri Sabah sendiri. Salah seorang ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Samson Chin (PBS) telah menyebut mengenai nisbah penduduk dan PTI 1.5:1.7 yang memetik angka daripada Jabatan Perangkaan.

Malah, parti-parti komponen Barisan Nasional termasuk PBS, United Pasok Momogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko), Sabah Progressive Party (SAPP), Liberal Democratic party (LDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) begitu lantang dalam menyatakan kebimbangan mereka mengenai Pojek IC dan PTI ini.

Situasi Sabah sebenarnya amat kritikal dengan kebanjiran pendatang tanpa izin yang sebahagian besarnya sudah menjadi warga Sabah. Bukan saja dari segi permasalahan sosial dan ekonominya, tetapi dari segi kedaulatan negeri Sabah sendiri mungkin menghadapi ancaman ketidakstabilan.

Perkara tersebut ialah berkaitan tuntutan Filipina terhadap Sabah yang mungkin ramai sudah lupa mengenainya tetapi ia tidak pernah digugurkan oleh Manila. Jika sekiranya Manila membuat tuntutan terhadap Sabah, saya pasti ribuan orang Filipina yang sudah berada di Sabah akan menyokong tuntutan tersebut dan sanggup berkorban untuk negara asal dan tanah tumpah darah mereka.

Walaupun sudah banyak hutannya diratakan dan minyaknya yang disedut, Sabah masih kaya dengan sumber-sumber aslinya. Amat menyedihkan melihat hutan-hutan di Sabah digondolkan, namun Sabah masih belum dibangunkan seperti yang sepatutnya. Pemimpin-pemimpinnya punya istana-istana bernilai jutaan ringgit, anak-anak dan suku-sakat mereka ke sana ke mari dalam kereta-kereta mewah yang diimport.

Tetapi bagi rakyat Sabah, mereka masih lagi berharap akan mendapat durian runtuh satu hari nanti.

Pengurusan Sabah adalah yang paling teruk antara negeri-negeri, dengan kehidupan yang paling buruk, paling sedikit pembangunan, pertumbuhan penduduk yang paling tinggi, pendatang asing yang paling ramai, negeri paling miskin dan kemudahan asas yang paling rendah dengan gangguan bekalan elektrik dan air yang paling tinggi di Malaysia. Ini dibuktikan oleh angka-angka dan maklumat Rancangan Malaysia Ke-9 yang berdasarkan 8 fakta menjadikan Sabah satu mimpi ngeri dalam kehidupan rakyat Sabah:

Sabah mempunyai bilangan pendatang haram seramai lebih sejuta orang, yang diberikan Kad Pengenalan di bawah “Projek Mahathir”. Lonjakan pertumbuhan penduduk pendatang haram boleh dilihat pada bilangan penduduk dalam tahun 1960, bilangan Kadazandusun hanya 168,000 dan sama dengan bilangan bumiputera lain. Pada 2000, sungguhpun penduduk Kadazandusun bertambah kepada 560,000, penduduk bumiputera lain telah bertambah kepada 1.1 juta.

Kadar jenayah berat dan ganas begitu tinggi menjadikan Sabah negeri paling bahaya sekali untuk diduduki. Sehingga pegawai polis bukan sahaja tidak dapat menjaga keselamatan awam malah tidak mampu membela diri seperti yang berlaku di Pulau Gaya baru ini, di mana pegawai polis telah ditetak.

Pemimpin-pemimpin di Kuala Lumpur terus memberi jaminan, “...ya, ya kami akan melihat kepada masalah kad pengenalan ini..”, kemudian kita akan dengar beberapa orang ditahan di bawah ISA, tetapi masalah ini tetap berterusan.

Hakikatnya, skandal IC ini adalah perbuatan Umno bagi memastikan komposisi penduduk Sabah beralih daripada majoriti Kadazandusun kepada Melayu Umno. Umno sudah lama mencari jalan untuk memecah kubu penduduk tempatan Sabah dengan memindahkan ramai kakitangan kerajaan ke Sabah. Langkah tersebut adalah bagi memastikan akhirnya mereka akan menguasai negeri Sabah.

Seluruh Sabah tahu akan perkara ini, tetapi Musa dan pemimpin-pemimpin Umno suka main wayang. Kononnya, dakwaan tersebut perlu disokong dengan bukti-bukti kukuh.

Bukti apa lagi yang mereka mahu? Banyak laporan mengenai PTI telah dibuat. Sudah ada orang yang sanggup pergi ke mahkamah, malah sanggup dihukum mati jika dakwaan mereka tidak benar. Apa lagi yang engkau mahu Musa?

Musa Aman sepatutnya telah memulakan penyiasatan sebaik saja menjadi ketua menteri bagi membuktikan kejujurannya dan tidak tunggu sehingga pendedahan oleh Hassnar dan Jabar. Tetapi sudah tentu itu tidak akan berlaku kerana Musa adalah penjaga kepentingan Umno di Sabah.

Lihat saja, semasa Haris Salleh menjadi ketua menteri (zaman Usno), Musa memegang jawatan Bendahari Usno. Pada ketika itu, projek IC sudahpun berjalan. Apabila Umno bertapak di Sabah, Musa yang telah dipilih menjadi Ketua Perhubungan Umno Sabah yang pada masa itu Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri Sabah. Musa terus menjaga kepentingan Umno dan salah satu strategi Umno ialah mengurangkan majoriti bukan Melayu di Sabah. Di sinilah projek Mahathir dijalankan dengan memberikan kad pengenalan sah kepada pendatang asing, agar mereka mengundi untuk Umno dalam pilihan raya negeri Sabah.

Dr Mahathir pada masa itu telah mengambil Megat Junid sebagai setiausaha politiknya dan kemudian Megat Junid telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri (lagi senang Megat Junid berurusan). Megat Junid dan Tan Sri Samsuddin (bekas Ketua Setiausaha Negara) dikatakan telah terlibat dalam projek IC tersebut, atas arahan bos mereka.

Projek IC tersebut telah dilipatgandakan zaman Pairin (PBS) mentadbir Sabah, bagi menghilangkan majoriti Kadazandusun. Sebelum menang, PBS menggunakan slogan ‘Sabah untuk orang Sabah’. Mereka menolak Musa yang dikatakan bukan Melayu tetapi keturunan Pakistan. Namun, Musa telah menggunakan kedudukannya untuk mengukuhkan kedudukan Umno di Sabah (secara haram).

Kini Ketua Menteri Datuk Musa Aman mengarahkan dua jabatan kerajaan; Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara menjelaskan kepada orang ramai mengenai skandal Projek (IC) Mahathir. Bijak, bijak wahai Musa, jangan cuba alihkan pertanggungjawaban kepada pihak lain sedangkan engkau tahu siapa sebenarnya dalang kepada segala kerosakan itu.

Menurut seorang wartawan Bernama, berita Projek Mahathir ini dimasukkan dalam Bernama hanya untuk memberi peluang bagi Pak Lah menghentikan serangan Dr Mahathir, tidak lebih dari itu.

KL memang tidak berminat untuk selesaikan masalah PTI dan PTI yang mendapat kad pengenalan kerana Sabah lebih mudah dikawal jika ia berada dalam keadaan lemah dengan tiada satu pihak yang ada kuasa penentu.

Sikap kerajaan negeri yang kaku dalam isu PTI wajar ditentang dengan mendesak diwujudkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD). Referendum atau pungutan suara akan diadakan jika kerajaan tidak mengendahkan gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) untuk menyiasat isu berkenaan, kata Dato' Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, rakyat boleh memberi jawaban mereka sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ melalui laman web Yayasan Pembangunan Insan atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Saya lihat Malaysia today juga ada memuatkan ruangannya untuk pungutan suara tersebut.

Dengan itu, siasatan dapat dilakukan dan mereka yang bertanggungjawab akan diadili dan permasalahan yang menghantui rakyat Sabah akan mula ditangani dan diatasi. Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan sudah mulakan usaha ini, rakyat Sabah perlu menyokong usaha tersebut.

sumber

No comments:

Post a Comment